Sabtu, 20 Julai 2013

Sejarah dan Latar Belakang SK Long Lapok

        Selamat datang ke laman blog ini...Laman  ini admin bina bagi sesiapa yang ingin berkenalan dan mengetahui berkenaan dengan SK Long Lapok, Baram Sarawak. Sebagai permulaan, mari kita berkenalan dengan logo sekolah!
Logo SK Long Lapok

Sekarang, apa kata kita ketahui serba sedikit tentang latar belakang dan sejarah sekolah ini.

         Sekolah Kebangsaan Long Lapok telah mula beroperasi pada 31 Januari 1988.  Pembukaanya telah dapat memberi pendidikan kepada anak-anak penduduk di sekitar kawasan yang berdekatan. Guru pertama yang berkhidmat ketika itu ialah Guru Joshua Jenau selaku Guru Besar dan juga guru kelas. Seramai 42 orang murid telah memulakan sesi persekolahan bertempat di bawah rumah Encik Along Engan.

        Pada masa itu, Jabatan Pendidikan Bahagian Miri-Bintulu telah membekalkan sekotak kapur, dua buah pemadam, sebuah mesin taip, 8 buah fail, 8 meja KBSR dan 12 buah bangku murid. Guru Besar terpaksa menumpang di rumah Encik Jerangku iaitu salah seorang penduduk rumah panjang di Rumah Encik Magilit, Kelijat Menok, Lapok.

        Pada masa itu tidak ada kemudahan yang sempurna. Beliau terpaksa mandi menggunakan air dari anak sungai dan perigi yang seringkali kering dan berbau sekiranya tiada hujan dalam tempoh seminggu. Pembinaan dua buah bilik darjah yang siap dibina pada bulan April 1988 secara gotong-royong telah membolehkan proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan dengan sempurna. Pada awal 1990, dua buah bilik darjah dan sebuah rumah guru siap dibina dengan cara gotong-royong juga. Keseluruhan bangunan sekolah siap dibina apabila 3 buah bilik darjah ditambah pada bulan Disember 1991.

        Pada tahun 2000, terdapat 6 buah bilik darjah, sebuah bilik sumber dan sebuah bilik guru telah dibina. Sehingga sekarang sekolah ini mempunyai 12 bilik darjah sebuah bilik Guru Besar, sebuah bilik Penolong Kanan, sebuah bilik guru, sebuah Pusat Sumber dan 2 buah Pra Sekolah. Kemudahan lain yang ada setakat ini ialah 13 unit rumah guru dan kakitangan, sebuah dapur RMT, sebuah padang bola sepak, sebuah gelanggang bola jaring, sebuah gelanggang badminton dan 2 buah taman permainan.

       Dalam hujung tahun 2012 dan awal 2013, sebuah Kelas Pemulihan dan Kelas Pendidikan Islam telah siap dibina bagi membantu murid-murid belajar dengan lebih selesa sekalgus dapat membantu meningkatkan pencapaian murid terutamanya bagi murid pemulihan dan murid beragama Islam.

Setakat ini sahaja sebagai permulaan...Semoga anda mendapat manfaat daripada entri ini.